Pages

Saturday, 26 April 2014

Fatimah Az-Zahra : Isu wanita (Etika pemakaian Islam)




Imam Ali (as) berkata: Satu hari ketika kami sedang duduk bersama Rasulullah SAW di mana baginda bertanya kepadaku,

“Apakah perkara terbaik bagi seorang wanita?” 

Tiada seorang pun yang mampu menjawab soalan Rasulullah SAW ketika itu. Lalu aku datang kepada Fatimah Zahra (sa) dan bertanyakan pendapat beliau. Fatimah terus menyatakan bahawa beliau mengetahui jawapan kepada soalan yang dikemukakan oleh Rasulullah SAW itu. Menurut Fatimah, perkara terbaik bagi seorang wanita adalah menjaga pandangan dan dilindungi dari pandangan lelaki. 

Kemudian, aku kembali menemui Rasulullah saw bersama jawapan itu. Rasulullah bertanya kepadaku: 

“Wahai Ali! Siapakah yang memberikan jawapan ini kepadamu?” 
“Puterimu Fatimah Az-Zahra, wahai Rasulullah! ” jawabku. Nabi tersenyum gembira mendengar jawapan itu seraya berkata “Fatimah Zahra (sa) adalah dari darahku (ahlul bait) serta belahan jiwaku”. 

Terdapat banyak hadis yang diriwayatkan mengenai personaliti, kehormatan dan tanggungjawab wanita dari sudut pandangan Islam. Ketika Rasulullah SAW duduk bersama sahabat-sahabat baginda, Nabi bertanya:

“Bilakah saat wanita dikatakan paling dekat dengan Allah SWT?” sekali lagi, tiada siapa yang menjawab soalan Rasulullah. Lalu, Fatimah Zahra tampil dan memberikan jawapan beliau. Menurut Fatimah, "Saat wanita paling dekat dengan Tuhannya adalah ketika dia berada di rumahnya”. Jawapan Az-Zahra ini sesuai dengan ayat Al-Quran yang bermaksud: 

“Dan hendaklah kamu tetap di rumahmu dan janganlah kamu berhias (bertingkah laku) seperti orang-orang jahiliah terdahulu..” (Quran, 33:33). 

Ditekankan di sini bahawa walaupun ayat Al-Quran ini diturunkan khas buat isteri-isteri Rasulullah SAW, tetapi sebenarnya ayat ini juga sesuai diaplikasi untuk semua wanita Muslimah. Di dalam surah yang sama iaitu surah Al Ahzab, Allah berfirman, 

"Wahai Nabi ! Katakanlah kepada isteri-isterimu, anak-anak perempuanmu, dan isteri-isteri orang mukmin, hendaklah mereka menutup jilbabnya ke seluruh tubuh mereka; yang demikian itu agar mereka lebih mudah untuk dikenali tetapi tidak pula sehingga diganggu. Sesungguhnya Allah itu Maha Pengampun dan Maha Penyayang (Quran, 33:59) 

Ayat di atas telah membincangkan falsafah hijab (etika pemakaian islam) sebagai sejenis pelindung buat wanita itu daripada diikuti, diusik dan dihina oleh pandangan jahat dan bernafsu lelaki bukan muhrim. 

………………………………………………………………………………………………………

Satu hari, ketika Nabi Muhammad SAW berada di rumah puterinya, Fatimah Zahra, tiba-tiba mereka mendengar ketukan di balik pintu. Lalu, pembantu rumah segera mendekati Nabi dan berkata,

“Ya Rasulullah! Sahabatmu Abdullah ibn Umme Maqdoom (cacat penglihatan) telah datang untuk menziarahimu.” 

Rasulullah SAW segera menyuruh pembantunya untuk membenarkan tetamu baginda itu masuk. Dalam masa yang sama, puterinya Fatimah Az-Zahra, penghulu wanita dunia dan ketua bidadari Syurga, bingkas bangun dan berlalu ke kamarnya. 

Lalu Rasulullah SAW bertanya “Wahai puteriku Fatimah, ke manakah kamu hendak pergi?” 

“Kerana ada sahabatmu yang mendatangi, aku ingin ke kamarku untuk mengenakan hijab supaya tidak dipandang olehnya” jawab Fatimah. 

“Tetapi anakku, sahabatku itu buta dan tidak dapat melihatmu,” balas Nabi kehairanan. 
“ Wahai ayahandaku! Tetamu itu tidak dapat melihatku, tetapi aku dapat melihat dia. Justeru itu, aku harus kembali ke kamarku”.

Peristiwa ini tidaklah menunjukkan Rasulullah SAW itu kurang pengetahuan mengenai wanita. Sebaliknya, soalan tersebut ditanya kerana Rasulullah mahu memberitahu kaum wanita akan kepentingan memelihara hijab. Dan bahawa adalah tidak cukup untuk sekadar berasa yakin bahawa diri itu mampu mengawal hawa nafsunya, tidak akan sesekali berfikir kotor atau memandang jahat terhadap seseorang, (justeru tidak perlu lagi memelihara hijab). Nauzubillah! 

Fatimah Zahra yang maksum itu pun, (yang bebas dari pengaruh nafsu yang jahat) tetap jua memelihara hijabnya dengan sangat serius.  

Islam mengambil berat akan soal melindungi kehormatan dan peribadi wanita demi kebahagiaan dan keikhlasan dirinya. Akan tetapi, perlu diingatkan bahawa, Islam tidaklah menganjurkan agar wanita itu tidak dibenarkan langsung dari melihat cahaya mentari di luar rumahnya. Fatimah Az-Zahra (sa) sendiri sewaktu hayatnya adalah seorang wanita yang sangat aktif dalam kehidupan peribadi dan sosialnya. Namun, dalam masa yang sama, Az-Zahra sangat berhati-hati dalam menjaga maruah dan kehormatannya sehinggakan dalam apa jua aktivitinya beliau tidak pernah bercampur gaul dengan lelaki asing.

Bukan sahaja kehadiran wanita dalam arena kebudayaan, politik, pertahanan tidak dilarang, bahkan dimana sahaja apabila perlu, maka adalah menjadi satu kewajiban bagi wanita untuk bergiat aktif dalam arena-arena tersebut.  Contohnya, bilamana masyarakat memerlukan perkhidmatan dari doktor wanita, jururawat ,dan guru wanita, kaum wanita di dalam masyarakat itu adalah wajib baginya untuk mempersiapkan dan melengkapkan diri dengan skillll dan kelayakan agar dapat memenuhi keperluan ummah pada waktu tersebut. 

Syarahan Fatimah Az-Zahra (sa) di dalam masjid Nabi (Madinah), jihad bersama suami tercintanya-Imam Ali (as) di dalam peperangan dan ketika penghijrahan mereka daripada Mekah ke Madinah, keberanian puteri mereka Hazrat Zainab (sa) di Karbala, diikuti dengan ucapan terkenalnya di Kota Kufah dan Sham-menjadi satu bukti bahawa wanita Islam mampu menggoncang dunia.

Warisan Fatimah Az-Zahra buat semua wanita Islam adalah; kesucian iman dan akhlak. Visi beliau buat semua Mulimah adalah; mereka harus memelihara maruah dan kesucian diri bak para malaikat, sesuai dengan etika dan nilai-nilai murni yang digariskan Islam. 

Di dalam satu hadis Rasulullah SAW, diriwayatkan bahawa, "Sedekah (zakat) bagi kecantikan seorang wanita adalah kehormatan dan kesucian dirinya,".

Oleh itu, sekiranya wanita tidak menjaga dan melindungi kecantikannya dari pandangan lelaki asing, serta mempamerkan dirinya kepada yang bukan muhrim, maka bukan sahaja dia terdedah kepada bahaya malah suaminya juga tidak akan mendapat ketenangan minda dan semangat diri. 

Perlu diingatkan di sini bahawa di sisi Islam, wanita adalah ibarat sekuntum bunga yang indah dan lembut
yang perlu dilindungi dari kesulitan-kesulitan dan bahaya. Lebih-lebih lagi, hanya apabila seseorang wanita itu benar-benar dilindungi dan disayangi, barulah dia mampu memberi sinar kebahagiaan kepada keluarga dan segala isi rumahnya, dan hanya dengan jalan ini sahaja sebuah masyarakat itu akan selamat, terpelihara dan berkembang maju. 


Fatimah Zahra (sa) : Keutamaan jiran tetangga. 


Sudah menjadi kelaziman buat putera Fatimah Az-Zahra, untuk bangun lewat malam dan menyertai ibundanya menunaikan solat tahajjud. Dia melihat ibundanya berdoa untuk mukminin dan mukminat agar diberikan kesenangan dan kesejahteraan, diampunkan dosa dan dipermudahkan urusan. 

Lalu, ketika dinihari, selesai solat, putera Az-Zahra pun bertanya, “ Wahai ibunda! Mengapa engkau berdoa untuk semua setiap hari. Namun, mengapa tidak kudengari doa untukmu sendiri sepertimana engkau berdoa untuk mereka? 

Fatimah Az-Zahra (sa) menjawab, “ wahai putraku Hassan, utamakanlah jiran tetangga dahulu barulah berdoa untuk diri kita (isi rumah). 


Doa ibunda Zahra: 

Ya ALLAH, 
Hiasilah aku dengan rahmatMu 
Berikanlah aku kesihatan yang baik serta dipanjangkan umurku 
Maafkanlah serta berbelas kasihanlah kepadaku semasa kematianku 
Janganlah Engkau menyulitkan diriku dalam apa jua yang tidak ditakdirkan untukku 
permudahkan lah jalan takdirku 
ya Allah, 
Anugerahilah kedua ibu bapaku serta yang berbuat baik kepadaku dengan nikmatMu yang luas 
Berikanlah kesempatan kepadaku untuk bersujud kepadaMu, dan mengikut perintahMu 
jadikanlah aku manusia yang rendah diri, dengan mengagumi kebesaran ciptaanMu 
Ya Allah, tunjukkanlah jalan untuk aku patuh kepadaMu dalam menggapai keredhaanMu, 
jauhkanlah aku dalam apa-apa yang mengundang kemurkaanMu 

Sesungguhnya Kau yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang..

Sumber : http://www.ezsoftech.com/stories/fatimah.zahra.asp

Wednesday, 2 April 2014

Kisah Pengajaran : Semut Yang Berdoa Supaya Hujan


Pada zaman dahulu, terdapat sebuah kemarau yang panjang berlaku di Palestin. Ia berlaku sewaktu zaman Nabi Sulaiman as (Raja Sulaiman). Baginda keluar bersama orang-orangnya dan pergi ke sebuah kawasan terbuka di padang pasir untuk berdoa supaya hujan turun.

Tiba-tiba, baginda melihat seekor semut sedang berdiri di atas dua kakinya, menaikkan tangannya ke langit dan berkata, "Ya Allah! Sesungguhnya kami ini sangat kecil di kalangan semua makhluk-Mu. Kami tidak boleh hidup tanpa rahmat-Mu. Kami mohon kurniakan kepada kami rezeki-Mu dan jangan hukumi kami kerana dosa-dosa manusia. Kami mohon turunkanlah hujan supaya pohon-pohon boleh tumbuh, ladang-ladang menjadi hijau dan bijirin boleh diperolehi  dan kami mendapat makanan kami."

Nabi Sulaiman tahu semua bahasa haiwan. Baginda berkata kepada kaumnya, "Mari kita pulang. Doa semut ini sudah mencukupi." Kemudian, hujan turun dengan lebatnya dan semua tanah menjadi hijau dan subur.

Semut adalah makhluk yang cerdik. Semasa musim panas, ia mengumpul dan menyimpan bijian di dalam lubang-lubangnya. Ia tahu bahawa semasa musim sejuk dan musim hujan, ia tidak boleh keluar mencari makanan. Kerana ia takut bijian akan mula berpucuk akibat keadaan yang lembap, maka ia membahagikan bijian-bijian itu kepada serpihan-serpihan kecil. Pada masa tertentu, semasa bulan terang di waktu malam, ia membawa serpihan bijirin tersebut keluar untuk dikeringkan dan diawet supaya tidak reput.

Lubang-lubang di bawah tanah dibina dengan sangat berhati-hati dan ditutupi dengan pelindung bagi menghalang air hujan masuk ke dalam lubang. Semut, tidak seperti haiwan-haiwan lain, boleh mengangkat beban dua kali ganda berat tubuhnya sendiri. Ia bukan makhluk yang pentingkan diri sendiri. Apabila seekor semut menjumpai bekalan makanan, ia berlari ke arah kumpulannya dan membawa kawan-kawannya ke arah tempat itu. Ia menunjukkan kepada semua temannya apa yang dia jumpai. Mereka selalu berkelakuan seperti itu. Mereka bekerja dan hidup bekerjasama dengan satu sama lain.

Ini menunjukkan bagaimana semut bekerja untuk kumpulan dan bagaimana setiap mereka memenuhi keperluan hidup teman-temannya. Sungguh memalukan bagi manusia, yang tidak mengambil peduli akan orang lain, yang tidak ambil kisah jika ada manusia lain yang mungkin kelaparan kerana tiada makanan.

Pada suatu hari, ketika Nabi Sulaiman sedang dalam perjalanan bersama-sama dengan sejumlah besar manusia, jin dan burung-burung, mereka akhirnya tiba ke sebuah lembah semut.

Apabila ketua kumpulan semut itu melihat kehebatan dan keagungan Nabi Sulaiman dan para pengiringnya, ia memberi amaran kepada semua semut agar masuk ke dalam lubang mereka jangan sampai mereka dipijak dan dihancurkan secara tidak sengaja oleh manusia dan jin yang sedang menghampiri. Nabi Sulaiman tersenyum mendengar amaran yang dikeluarkan oleh ketua semut itu, dan memerintahkan orang-orangnya untuk menunggu sehinggalah semua semut masuk ke dalam lubang mereka.

"Jangan ada sesiapa dari kita menyakiti mana-mana semut semasa melalui tanah mereka," kata baginda.

Dikatakan bahawa Nabi Sulaiman berkata kepada ketua semut: "Bagaimana mungkin orang-orang saya mencederakan kamu atau rakan-rakanmu sedangkan mereka terapung di udara!? Apakah kamu tidak tahu aku adalah seorang Nabi Allah dan tidak akan bertindak secara tidak adil?"

Ketua semut itu menjawab: "Wahai utusan Allah! Amaranku terhadap semut-semut itu bukan kerana takut mereka akan dicederakan tetapi untuk menghalang mereka dari menyimpang ke arah kesesatan dan melupakan keagungan Tuhan selepas melihat kehebatan dan keagunganmu."

Terdapat maksud yang mendalam dalam peristiwa ini. Ini menunjukkan bahawa makhluk yang paling kecil pun dikurniakan kebijaksanaan yang diperlukan untuk hidup dengan selamat dan bagi mengelakkan diri  dari disakiti sebaik mungkin. Ia juga menunjukkan bahawa semut kecil pun mempunyai pemahaman semula jadi akan kedudukan sebenar Allah Taala. Ia memberikan pengajaran bahawa seseorang itu tidak harus lupa akan kebesaran dan keagungan Allah apabila melihat sebuah kuasa besar dan kehormatan yang dimiliki oleh mana-mana makhluk di dunia ini.

Oleh itu, semut adalah salah satu makhluk kecil yang paling menarik di dunia ini. Surah An-Naml (Semut) di dalam Al-Quran adalah surah yang dinamakan dengan nama makhluk ini. Lebih 1300 tahun dahulu, Imam Ali menyampaikan sebuah khutbah di Kufa, di mana beliau menerangkan keindahan penciptaan dalam pelbagai bentuk kehidupan. Beliau merujuk kepada makhluk-makhluk kecil dan menyeru manusia agar mengkaji bagaimana Allah menjadikan makhluk itu kecil namun begitu tegap dan kuat. Beliau menerangkan tentang semut dengan kata-kata ini:

"Lihatlah pada semut. Bagaimana kecil dan halusnya tubuh mereka. Ia adalah makhluk kecil yang sering terlepas dari pandangan mata, dan sedikit sahaja orang-orang yang mengambil berat untuk meletakkan apa-apa kepentingan kepada makhluk ini di antara makhluk-makhluk hidup yang lainnya. Lihatlah ia dan kajilah cara hidupnya, bagaimana ia bergerak, bagaimana ia mendapatkan makanannya, bagaimana ia mengangkat sebutir bijirin yang berkali ganda berat dari tubuhnya, membawanya ke dalam lubang; bagaimana ia menyimpan bijirin, dan bagaimana pada musim panas ia mengumpul dan menyimpan bekalan makanan untuk musim sejuk dan hari hujan."

Semoga kita beroleh pengajaran dari kisah ini.