Pada zaman dahulu, terdapat sebuah kemarau yang panjang berlaku di Palestin. Ia berlaku
sewaktu zaman Nabi Sulaiman as (Raja Sulaiman). Baginda keluar bersama
orang-orangnya dan pergi ke sebuah kawasan terbuka di padang pasir untuk berdoa
supaya hujan turun.
Tiba-tiba, baginda
melihat seekor semut sedang berdiri di atas dua kakinya, menaikkan
tangannya ke langit dan berkata, "Ya Allah! Sesungguhnya kami ini sangat
kecil di kalangan semua makhluk-Mu. Kami tidak boleh hidup tanpa rahmat-Mu.
Kami mohon kurniakan kepada kami rezeki-Mu dan jangan hukumi kami kerana
dosa-dosa manusia. Kami mohon turunkanlah hujan supaya pohon-pohon boleh
tumbuh, ladang-ladang menjadi hijau dan bijirin boleh diperolehi dan kami mendapat makanan kami."
Nabi Sulaiman tahu
semua bahasa haiwan. Baginda berkata kepada kaumnya, "Mari kita pulang.
Doa semut ini sudah mencukupi." Kemudian, hujan turun dengan lebatnya dan
semua tanah menjadi hijau dan subur.
Semut adalah makhluk
yang cerdik. Semasa musim panas, ia mengumpul dan menyimpan bijian di dalam
lubang-lubangnya. Ia tahu bahawa semasa musim sejuk dan musim hujan, ia tidak
boleh keluar mencari makanan. Kerana ia takut bijian akan mula berpucuk akibat
keadaan yang lembap, maka ia membahagikan bijian-bijian itu kepada
serpihan-serpihan kecil. Pada masa tertentu, semasa bulan terang di waktu
malam, ia membawa serpihan bijirin tersebut keluar untuk dikeringkan dan diawet
supaya tidak reput.
Lubang-lubang di
bawah tanah dibina dengan sangat berhati-hati dan ditutupi dengan pelindung
bagi menghalang air hujan masuk ke dalam lubang. Semut, tidak seperti
haiwan-haiwan lain, boleh mengangkat beban dua kali ganda berat tubuhnya
sendiri. Ia bukan makhluk yang pentingkan diri sendiri. Apabila seekor semut
menjumpai bekalan makanan, ia berlari ke arah kumpulannya dan membawa
kawan-kawannya ke arah tempat itu. Ia menunjukkan kepada semua temannya apa
yang dia jumpai. Mereka selalu berkelakuan seperti itu. Mereka bekerja dan
hidup bekerjasama dengan satu sama lain.
Ini menunjukkan
bagaimana semut bekerja untuk kumpulan dan bagaimana setiap mereka memenuhi
keperluan hidup teman-temannya. Sungguh memalukan bagi manusia, yang tidak
mengambil peduli akan orang lain, yang tidak ambil kisah jika ada manusia lain
yang mungkin kelaparan kerana tiada makanan.
Pada suatu hari,
ketika Nabi Sulaiman sedang dalam perjalanan bersama-sama dengan sejumlah besar
manusia, jin dan burung-burung, mereka akhirnya tiba ke sebuah lembah semut.
Apabila ketua
kumpulan semut itu melihat kehebatan dan keagungan Nabi Sulaiman dan para
pengiringnya, ia memberi amaran kepada semua semut agar masuk ke dalam lubang
mereka jangan sampai mereka dipijak dan dihancurkan secara tidak sengaja oleh
manusia dan jin yang sedang menghampiri. Nabi Sulaiman tersenyum mendengar amaran
yang dikeluarkan oleh ketua semut itu, dan memerintahkan orang-orangnya untuk
menunggu sehinggalah semua semut masuk ke dalam lubang mereka.
"Jangan ada
sesiapa dari kita menyakiti mana-mana semut semasa melalui tanah mereka,"
kata baginda.
Dikatakan bahawa
Nabi Sulaiman berkata kepada ketua semut: "Bagaimana mungkin orang-orang
saya mencederakan kamu atau rakan-rakanmu sedangkan mereka terapung di udara!?
Apakah kamu tidak tahu aku adalah seorang Nabi Allah dan tidak akan bertindak secara
tidak adil?"
Ketua semut itu
menjawab: "Wahai utusan Allah! Amaranku terhadap semut-semut itu bukan
kerana takut mereka akan dicederakan tetapi untuk menghalang mereka dari
menyimpang ke arah kesesatan dan melupakan keagungan Tuhan selepas melihat
kehebatan dan keagunganmu."
Terdapat maksud yang
mendalam dalam peristiwa ini. Ini menunjukkan bahawa makhluk yang paling kecil
pun dikurniakan kebijaksanaan yang diperlukan untuk hidup dengan selamat dan
bagi mengelakkan diri dari disakiti sebaik
mungkin. Ia juga menunjukkan bahawa semut kecil pun mempunyai pemahaman semula
jadi akan kedudukan sebenar Allah Taala. Ia memberikan pengajaran bahawa
seseorang itu tidak harus lupa akan kebesaran dan keagungan Allah apabila
melihat sebuah kuasa besar dan kehormatan yang dimiliki oleh mana-mana makhluk
di dunia ini.
Oleh itu, semut
adalah salah satu makhluk kecil yang paling menarik di dunia ini. Surah An-Naml
(Semut) di dalam Al-Quran adalah surah yang dinamakan dengan nama makhluk ini.
Lebih 1300 tahun dahulu, Imam Ali menyampaikan sebuah khutbah di Kufa, di mana beliau
menerangkan keindahan penciptaan dalam pelbagai bentuk kehidupan. Beliau
merujuk kepada makhluk-makhluk kecil dan menyeru manusia agar mengkaji
bagaimana Allah menjadikan makhluk itu kecil namun begitu tegap dan kuat.
Beliau menerangkan tentang semut dengan kata-kata ini:
"Lihatlah pada semut. Bagaimana kecil dan halusnya tubuh mereka. Ia adalah makhluk
kecil yang sering terlepas dari pandangan mata, dan sedikit sahaja orang-orang
yang mengambil berat untuk meletakkan apa-apa kepentingan kepada makhluk ini di
antara makhluk-makhluk hidup yang lainnya. Lihatlah ia dan kajilah cara
hidupnya, bagaimana ia bergerak, bagaimana ia mendapatkan makanannya, bagaimana
ia mengangkat sebutir bijirin yang berkali ganda berat dari tubuhnya,
membawanya ke dalam lubang; bagaimana ia menyimpan bijirin, dan bagaimana pada
musim panas ia mengumpul dan menyimpan bekalan makanan untuk musim sejuk dan
hari hujan."
Semoga kita beroleh pengajaran dari kisah ini.
No comments:
Post a Comment