1. Amar Makruf Nahi Mungkar (Memerintahkan Kebaikan & Melarang Kemungkaran)
Pada suatu hari di
musim panas, Imam Ali AS sedang berjalan melalui sebuah kota ketika beliau
dalam perjalanan pulang ke rumahnya. Matahari ketika itu sangat panas sekali
dan Imam merasa lelah dan berpeluh-peluh.
Kebanyakan orang
sedang tidur, dan jalan-jalan menjadi sunyi dan sepi. Tiba-tiba Imam Ali
terdengar satu suara orang meratap dan menangis. Beliau berhenti seketika,
melihat sekeliling, dan mendapati tiada sesiapa beliau lalu meneruskan
perjalanannya.
Kemudian, seorang
wanita muncul di hujung lorong. Dia berjalan dalam keadaan tidak bermaya,
meratap dan menangis.
Dia berlari ke arah
Imam Ali, terduduk di atas tanah, dan
menyapu air mata dari wajahnya. Dia mula berkata sesuatu tetapi dia tidak
berupaya untuk berhenti menangis. Sekali lagi, wajahnya ditenggelami air mata.
Imam bertanya
kepadanya dengan lembut mengapa dia begitu sedih sekali. Dengan nafas yang
tersekat-sekat dan dengan suara ratapannya, wanita itu menjawab :
"Suami saya
melayan saya dengan buruk. Dia telah menghalau saya keluar dari rumah. Dia mahu
memukul saya...Oh Amirul Mukminin, tolonglah saya, kerana tiada siapa untuk
membantu saya kecuali anda."
Imam Ali sangat
keletihan ketika itu. Beliau berkata kepada wanita itu: "Tunggu sehingga
cuaca menjadi redup. Kemudian saya akan pergi bersama anda dan bercakap dengan suami anda. Pada masa ini
cuaca sangat panas dan saya sangat keletihan. Adalah lebih baik anda tunggu
sebentar."
Ini sekali lagi
menjadikan air mata wanita itu berjuraian membasahi wajahnya.
"Oh Amirul
Mukminin.." dia berkata.
"Saya berasa
takut. Saya takut kalau saya sampai lambat ke rumah, suami saya akan menjadi
lebih marah dengan saya, dan akan melayan saya dengan lebihkasar lagi."
Imam Ali (AS)
berfikir seketika, dan kemudian berkata: "Tidak, demi Allah, saya tidak
akan bertangguh dalam soal amar makruf nahi mungkar. Saya mesti bantu orang
yang tertindas ini.
Dengan itu, beliau
berangkat ke rumah wanita itu. Ketika
mereka semakin menghampiri rumah tersebut, wanita itu menunjuk ke arahnya dan
berdiri agak jauh sedikit dari rumah itu, terlalu takut untuk pergi lebih
hampir lagi.
Imam Ali (AS)
mengetuk pintu dan memberikan salam. Seorang pemuda sasa, yang jelas sedang
marah, membuka pintu itu. Serta-merta Imam bertanyakan kepadanya tentang
kelakuannya terhadap isterinya, dan kemudian, dengan cara lembut dan baik,
beliau menasihatinya: "Wahai pemuda, mengapa kamu menyulitkan isterimu? Takutlah kepada Allah
dan jangan sulitkan isterimu lagi. Jangan memukulnya, dan jika dia telah
membuatmu marah, kamu harus memaafkannya."
Berdiri di seberang
jalan, wanita itu sedang mendengarkan perbualan itu dan berharap agar suaminya
akan menerima nasihat Imam (AS) dan memperbaiki cara layanannya terhadap
dirinya.
Tetapi pemuda itu
(yang nampaknya tidak mengenali Imam) menjerit dengan marah dan berkata
lancang: "Siapa anda mahu mencampuri urusan saya? Saya sekarang mahu
membunuh wanita ini dan tiada apa yang anda boleh lakukan. Ini bukan urusan
anda. Sekarang saya akan membakarnya dengan api; mari lihat apa yang anda boleh
buat!
Mendengarkan letupan
kemarahan itu, Imam (AS) menundukkan kepalanya dan menggumam "La ilaha
illah Allah".
Dan apabila pemuda
itu meluru ke arah isterinya mengancam untuk membakarnya, Imam (AS)
menyekatnya, menahan tangannya dan sekali lagi menegur dan menasihatinya.
Namun, pemuda itu
tidak mempedulikan Imam dan terus berteriak, berkelakuan ganas dan agresif.
Sekali lagi, dia cuba maju ke arah isterinya; dia benar-benar mahu membakar
isterinya.
Imam Ali kemudian
menjadi marah. Tanpa ragu-ragu beliau mengeluarkan pedangnya dan menghunuskan
pedang itu ke atas kepala pemuda tersebut. Sinaran pedang itu menjadikan pemuda
itu berasa takut dan seluruh tubuhnya menggeletar kuat. Imam memandang ke arah
wajahnya dengan tajam:
"Saya meminta anda dengan baik dan sopan. Saya menasihati anda untuk berbuat baik, dan saya memberi amaran kepada anda akan hukuman daripada perbuatan burukmu. Tetapi anda, mula berteriak seperti orang gila. Anda panas baran, kurang ajar, dan memberontak. Apakah anda fikir saya akan membenarkan anda bertindak kasar terhadap wanita ini! Mohon ampunlah atas perbuatan buli dan kezaliman anda, takutlah kepada Allah, berhenti menyulitkan isterimu yang kasihan ini; jika tidak anda akan mendapat hukuman daripada perbuatan hodoh anda."
Pada ketika ini
beberapa sahabat Imam Ali (AS) sampai dan mengucap salam kepada Imam.
Mendengarkan mereka memanggil beliau sebagai "Amirul Mukminin" pemuda
itu mengenali Ali (AS) dan berasa sangat malu dengan kelakuannya.
Dengan penuh rasa
kesal, pemuda itu meminta maaf. Imam Ali (AS) menyarungkan pedangnya dan
berkata kepada wanita itu: "Pergi ke rumahmu sekarang, anda akan selamat.
Tetapi pada masa akan datang layanlah suamimu dengan lebih hormat dan hidup
dengan aman dengannya. Wahai wanita mulia, anda juga, jadilah penyayang dan
berbuat baik kepada suami anda, dan jangan berikan dia apa pun sebab untuk
menjadi marah kepadamu."
-Sumber : ImamReza.net
-Penjelasan tentang Kepentingan Amar Makruf Nahi Mungkar
-Sumber : ImamReza.net
-Penjelasan tentang Kepentingan Amar Makruf Nahi Mungkar