Pages

Monday, 11 August 2014

Kisah-Kisah dari Kehidupan Imam Ali AS


1.  Amar Makruf Nahi Mungkar (Memerintahkan Kebaikan & Melarang Kemungkaran)

Pada suatu hari di musim panas, Imam Ali AS sedang berjalan melalui sebuah kota ketika beliau dalam perjalanan pulang ke rumahnya. Matahari ketika itu sangat panas sekali dan Imam merasa lelah dan berpeluh-peluh.

Kebanyakan orang sedang tidur, dan jalan-jalan menjadi sunyi dan sepi. Tiba-tiba Imam Ali terdengar satu suara orang meratap dan menangis. Beliau berhenti seketika, melihat sekeliling, dan mendapati tiada sesiapa beliau lalu meneruskan perjalanannya.

Kemudian, seorang wanita muncul di hujung lorong. Dia berjalan dalam keadaan tidak bermaya, meratap dan menangis.

Dia berlari ke arah Imam Ali,  terduduk di atas tanah, dan menyapu air mata dari wajahnya. Dia mula berkata sesuatu tetapi dia tidak berupaya untuk berhenti menangis. Sekali lagi, wajahnya ditenggelami air mata.

Imam bertanya kepadanya dengan lembut mengapa dia begitu sedih sekali. Dengan nafas yang tersekat-sekat dan dengan suara ratapannya, wanita itu menjawab :

"Suami saya melayan saya dengan buruk. Dia telah menghalau saya keluar dari rumah. Dia mahu memukul saya...Oh Amirul Mukminin, tolonglah saya, kerana tiada siapa untuk membantu saya kecuali anda."

Imam Ali sangat keletihan ketika itu. Beliau berkata kepada wanita itu: "Tunggu sehingga cuaca menjadi redup. Kemudian saya akan pergi bersama anda dan  bercakap dengan suami anda. Pada masa ini cuaca sangat panas dan saya sangat keletihan. Adalah lebih baik anda tunggu sebentar."

Ini sekali lagi menjadikan air mata wanita itu berjuraian membasahi wajahnya.

"Oh Amirul Mukminin.." dia berkata.
"Saya berasa takut. Saya takut kalau saya sampai lambat ke rumah, suami saya akan menjadi lebih marah dengan saya, dan akan melayan saya dengan lebihkasar lagi."

Imam Ali (AS) berfikir seketika, dan kemudian berkata: "Tidak, demi Allah, saya tidak akan bertangguh dalam soal amar makruf nahi mungkar. Saya mesti bantu orang yang tertindas ini.

Dengan itu, beliau berangkat ke rumah wanita itu.  Ketika mereka semakin menghampiri rumah tersebut, wanita itu menunjuk ke arahnya dan berdiri agak jauh sedikit dari rumah itu, terlalu takut untuk pergi lebih hampir lagi.

Imam Ali (AS) mengetuk pintu dan memberikan salam. Seorang pemuda sasa, yang jelas sedang marah, membuka pintu itu. Serta-merta Imam bertanyakan kepadanya tentang kelakuannya terhadap isterinya, dan kemudian, dengan cara lembut dan baik, beliau menasihatinya: "Wahai pemuda, mengapa kamu  menyulitkan isterimu? Takutlah kepada Allah dan jangan sulitkan isterimu lagi. Jangan memukulnya, dan jika dia telah membuatmu marah, kamu harus memaafkannya."

Berdiri di seberang jalan, wanita itu sedang mendengarkan perbualan itu dan berharap agar suaminya akan menerima nasihat Imam (AS) dan memperbaiki cara layanannya terhadap dirinya.

Tetapi pemuda itu (yang nampaknya tidak mengenali Imam) menjerit dengan marah dan berkata lancang: "Siapa anda mahu mencampuri urusan saya? Saya sekarang mahu membunuh wanita ini dan tiada apa yang anda boleh lakukan. Ini bukan urusan anda. Sekarang saya akan membakarnya dengan api; mari lihat apa yang anda boleh buat!

Mendengarkan letupan kemarahan itu, Imam (AS) menundukkan kepalanya dan menggumam "La ilaha illah Allah".

Dan apabila pemuda itu meluru ke arah isterinya mengancam untuk membakarnya, Imam (AS) menyekatnya, menahan tangannya dan sekali lagi menegur dan menasihatinya.

Namun, pemuda itu tidak mempedulikan Imam dan terus berteriak, berkelakuan ganas dan agresif. Sekali lagi, dia cuba maju ke arah isterinya; dia benar-benar mahu membakar isterinya.

Imam Ali kemudian menjadi marah. Tanpa ragu-ragu beliau mengeluarkan pedangnya dan menghunuskan pedang itu ke atas kepala pemuda tersebut. Sinaran pedang itu menjadikan pemuda itu berasa takut dan seluruh tubuhnya menggeletar kuat. Imam memandang ke arah wajahnya dengan tajam:

"Saya meminta anda dengan baik dan sopan. Saya menasihati anda untuk berbuat baik, dan saya memberi amaran kepada anda akan hukuman daripada perbuatan burukmu. Tetapi anda, mula berteriak seperti orang gila. Anda panas baran, kurang ajar, dan  memberontak. Apakah anda fikir saya akan membenarkan anda bertindak kasar terhadap wanita ini! Mohon ampunlah atas perbuatan buli dan kezaliman anda, takutlah kepada Allah, berhenti menyulitkan isterimu yang kasihan ini;  jika tidak anda akan mendapat hukuman daripada perbuatan hodoh anda."



Pada ketika ini beberapa sahabat Imam Ali (AS) sampai dan mengucap salam kepada Imam. Mendengarkan mereka memanggil beliau sebagai "Amirul Mukminin" pemuda itu mengenali Ali (AS) dan berasa sangat malu dengan kelakuannya.

Dengan penuh rasa kesal, pemuda itu meminta maaf. Imam Ali (AS) menyarungkan pedangnya dan berkata kepada wanita itu: "Pergi ke rumahmu sekarang, anda akan selamat. Tetapi pada masa akan datang layanlah suamimu dengan lebih hormat dan hidup dengan aman dengannya. Wahai wanita mulia, anda juga, jadilah penyayang dan berbuat baik kepada suami anda, dan jangan berikan dia apa pun sebab untuk menjadi marah kepadamu."

-Sumber : ImamReza.net
-Penjelasan tentang Kepentingan Amar Makruf Nahi Mungkar

No comments:

Post a Comment