Pages

Saturday, 11 October 2014

Imam Ja'far as-Sadiq : Jaga Bahasa Anda

             


           Imam Ja'far as-Sadiq mempunyai ramai pengikut. Sebahagian darinya sentiasa bersama Imam dari sejak mereka bangun pagi hingga ke waktu mereka pulang ke rumah untuk tidur. Salah seorang darinya begitu rapat dengan Imam hinggakan orang ramai sentiasa melihat dirinya hadir di samping Imam, sama ada di rumah, di masjid, di pasar, atau di mana-mana sahaja Imam pergi. Walaupun dia mempunyai nama, namun secara umumnya dia dikenali sebagai, "rakan" (kepada Imam Ja'far).


           Pada suatu hari, dia dilihat berada di pasar bersama dengan Imam yang ingin mendapatkan kasutnya yang telah dibaiki oleh tukang kasut. Hamba kepada "rakan" itu turut sama mengikuti mereka. Ketika mereka berpusing ke satu sudut jalan, "rakan" tersebut menoleh ke belakang untuk melihat sama ada hambanya ada di belakangnya. Tetapi tidak ada. Selepas beberapa minit, sekali lagi dia menoleh untuk melihat sama ada hambanya telah kembali. Tetapi masih tidak kelihatan. Melihat hambanya masih hilang buat kali ke-tiga, dia menoleh sekali lagi ke belakang buat kali ke-empat dan mendapati hambanya berdiri betul-betul di belakangnya.

  
                   "Bajingan kamu! Kemanakah kamu pergi selama ini?" Dia menjerit.


Imam Ja'far terkejut besar! Baginda berhenti, tergamam. 

"Kamu mencaci ibunya...? Berani kamu menuduh ibunya dengan tuduhan seserius begini! Selama ini saya di bawah tanggapan bahawa kamu seorang mukmin yang takut kepada Allah, tetapi hari ini kamu telah menunjukkan pada saya bahawa sebenarnya kamu tidak takutkan Allah sama sekali."


                   "Ya ibn Rasulillah ! Hamba saya adalah seorang Sindhi, begitu juga ibunya. Anda tahu mereka ini bukan beragama Islam. Jadi tuduhan saya tidak salah."


"Ibunya mungkin bukan orang beriman, tetapi setiap masyarakat mempunyai undang-undang perkahwinan mereka sendiri. Undang-undang tersebut adalah selari dengan sistem komunal mereka, dan kesatuan (antara ibu bapa) mereka tidak boleh disamakan dengan zina, begitu juga anak-anak mereka tidak boleh dianggap sebagai anak haram." 


Kemudian Imam memalingkan wajahnya dari "rakan" tersebut dan berkata: "Mohon jauhi diri kamu dari saya saat ini juga, dan jangan dilihat bersama saya lagi."


Tidak ada sesiapa yang pernah melihat "rakan" tersebut menemani Imam lagi selepas kejadian itu.


Sumber: http://www.al-islam.org/anecdotes-ahlul-bayt-ayatullah-murtadha-mutahhari/traits-nobility


1. Imam Ali :-

"Berhati-hatilah dari berkawan dengan orang-orang korup, orang-orang yang tidak bermoral, dan mereka yang secara terang-terangan melakukan perbuatan ingkar terhadap Allah."

(Ibid, n. 2601)


2. Imam Ja'far as-Sadiq :-

"Bahasa lucah, kotor, dan bahasa biadab, kesemuanya dari hipokrisi."

(Bihar al-Anwar, v.79, p.113, no.14)


3. Imam al Baqir :-

"Allah membenci orang-orang yang mengguna bahasa lucah dan dia yang tidak berasa malu dengannya."

(al-Kafi, v.2, no.324, no.4)






                    

Monday, 11 August 2014

Kisah-Kisah dari Kehidupan Imam Ali AS


1.  Amar Makruf Nahi Mungkar (Memerintahkan Kebaikan & Melarang Kemungkaran)

Pada suatu hari di musim panas, Imam Ali AS sedang berjalan melalui sebuah kota ketika beliau dalam perjalanan pulang ke rumahnya. Matahari ketika itu sangat panas sekali dan Imam merasa lelah dan berpeluh-peluh.

Kebanyakan orang sedang tidur, dan jalan-jalan menjadi sunyi dan sepi. Tiba-tiba Imam Ali terdengar satu suara orang meratap dan menangis. Beliau berhenti seketika, melihat sekeliling, dan mendapati tiada sesiapa beliau lalu meneruskan perjalanannya.

Kemudian, seorang wanita muncul di hujung lorong. Dia berjalan dalam keadaan tidak bermaya, meratap dan menangis.

Dia berlari ke arah Imam Ali,  terduduk di atas tanah, dan menyapu air mata dari wajahnya. Dia mula berkata sesuatu tetapi dia tidak berupaya untuk berhenti menangis. Sekali lagi, wajahnya ditenggelami air mata.

Imam bertanya kepadanya dengan lembut mengapa dia begitu sedih sekali. Dengan nafas yang tersekat-sekat dan dengan suara ratapannya, wanita itu menjawab :

"Suami saya melayan saya dengan buruk. Dia telah menghalau saya keluar dari rumah. Dia mahu memukul saya...Oh Amirul Mukminin, tolonglah saya, kerana tiada siapa untuk membantu saya kecuali anda."

Imam Ali sangat keletihan ketika itu. Beliau berkata kepada wanita itu: "Tunggu sehingga cuaca menjadi redup. Kemudian saya akan pergi bersama anda dan  bercakap dengan suami anda. Pada masa ini cuaca sangat panas dan saya sangat keletihan. Adalah lebih baik anda tunggu sebentar."

Ini sekali lagi menjadikan air mata wanita itu berjuraian membasahi wajahnya.

"Oh Amirul Mukminin.." dia berkata.
"Saya berasa takut. Saya takut kalau saya sampai lambat ke rumah, suami saya akan menjadi lebih marah dengan saya, dan akan melayan saya dengan lebihkasar lagi."

Imam Ali (AS) berfikir seketika, dan kemudian berkata: "Tidak, demi Allah, saya tidak akan bertangguh dalam soal amar makruf nahi mungkar. Saya mesti bantu orang yang tertindas ini.

Dengan itu, beliau berangkat ke rumah wanita itu.  Ketika mereka semakin menghampiri rumah tersebut, wanita itu menunjuk ke arahnya dan berdiri agak jauh sedikit dari rumah itu, terlalu takut untuk pergi lebih hampir lagi.

Imam Ali (AS) mengetuk pintu dan memberikan salam. Seorang pemuda sasa, yang jelas sedang marah, membuka pintu itu. Serta-merta Imam bertanyakan kepadanya tentang kelakuannya terhadap isterinya, dan kemudian, dengan cara lembut dan baik, beliau menasihatinya: "Wahai pemuda, mengapa kamu  menyulitkan isterimu? Takutlah kepada Allah dan jangan sulitkan isterimu lagi. Jangan memukulnya, dan jika dia telah membuatmu marah, kamu harus memaafkannya."

Berdiri di seberang jalan, wanita itu sedang mendengarkan perbualan itu dan berharap agar suaminya akan menerima nasihat Imam (AS) dan memperbaiki cara layanannya terhadap dirinya.

Tetapi pemuda itu (yang nampaknya tidak mengenali Imam) menjerit dengan marah dan berkata lancang: "Siapa anda mahu mencampuri urusan saya? Saya sekarang mahu membunuh wanita ini dan tiada apa yang anda boleh lakukan. Ini bukan urusan anda. Sekarang saya akan membakarnya dengan api; mari lihat apa yang anda boleh buat!

Mendengarkan letupan kemarahan itu, Imam (AS) menundukkan kepalanya dan menggumam "La ilaha illah Allah".

Dan apabila pemuda itu meluru ke arah isterinya mengancam untuk membakarnya, Imam (AS) menyekatnya, menahan tangannya dan sekali lagi menegur dan menasihatinya.

Namun, pemuda itu tidak mempedulikan Imam dan terus berteriak, berkelakuan ganas dan agresif. Sekali lagi, dia cuba maju ke arah isterinya; dia benar-benar mahu membakar isterinya.

Imam Ali kemudian menjadi marah. Tanpa ragu-ragu beliau mengeluarkan pedangnya dan menghunuskan pedang itu ke atas kepala pemuda tersebut. Sinaran pedang itu menjadikan pemuda itu berasa takut dan seluruh tubuhnya menggeletar kuat. Imam memandang ke arah wajahnya dengan tajam:

"Saya meminta anda dengan baik dan sopan. Saya menasihati anda untuk berbuat baik, dan saya memberi amaran kepada anda akan hukuman daripada perbuatan burukmu. Tetapi anda, mula berteriak seperti orang gila. Anda panas baran, kurang ajar, dan  memberontak. Apakah anda fikir saya akan membenarkan anda bertindak kasar terhadap wanita ini! Mohon ampunlah atas perbuatan buli dan kezaliman anda, takutlah kepada Allah, berhenti menyulitkan isterimu yang kasihan ini;  jika tidak anda akan mendapat hukuman daripada perbuatan hodoh anda."



Pada ketika ini beberapa sahabat Imam Ali (AS) sampai dan mengucap salam kepada Imam. Mendengarkan mereka memanggil beliau sebagai "Amirul Mukminin" pemuda itu mengenali Ali (AS) dan berasa sangat malu dengan kelakuannya.

Dengan penuh rasa kesal, pemuda itu meminta maaf. Imam Ali (AS) menyarungkan pedangnya dan berkata kepada wanita itu: "Pergi ke rumahmu sekarang, anda akan selamat. Tetapi pada masa akan datang layanlah suamimu dengan lebih hormat dan hidup dengan aman dengannya. Wahai wanita mulia, anda juga, jadilah penyayang dan berbuat baik kepada suami anda, dan jangan berikan dia apa pun sebab untuk menjadi marah kepadamu."

-Sumber : ImamReza.net
-Penjelasan tentang Kepentingan Amar Makruf Nahi Mungkar

Saturday, 26 April 2014

Fatimah Az-Zahra : Isu wanita (Etika pemakaian Islam)




Imam Ali (as) berkata: Satu hari ketika kami sedang duduk bersama Rasulullah SAW di mana baginda bertanya kepadaku,

“Apakah perkara terbaik bagi seorang wanita?” 

Tiada seorang pun yang mampu menjawab soalan Rasulullah SAW ketika itu. Lalu aku datang kepada Fatimah Zahra (sa) dan bertanyakan pendapat beliau. Fatimah terus menyatakan bahawa beliau mengetahui jawapan kepada soalan yang dikemukakan oleh Rasulullah SAW itu. Menurut Fatimah, perkara terbaik bagi seorang wanita adalah menjaga pandangan dan dilindungi dari pandangan lelaki. 

Kemudian, aku kembali menemui Rasulullah saw bersama jawapan itu. Rasulullah bertanya kepadaku: 

“Wahai Ali! Siapakah yang memberikan jawapan ini kepadamu?” 
“Puterimu Fatimah Az-Zahra, wahai Rasulullah! ” jawabku. Nabi tersenyum gembira mendengar jawapan itu seraya berkata “Fatimah Zahra (sa) adalah dari darahku (ahlul bait) serta belahan jiwaku”. 

Terdapat banyak hadis yang diriwayatkan mengenai personaliti, kehormatan dan tanggungjawab wanita dari sudut pandangan Islam. Ketika Rasulullah SAW duduk bersama sahabat-sahabat baginda, Nabi bertanya:

“Bilakah saat wanita dikatakan paling dekat dengan Allah SWT?” sekali lagi, tiada siapa yang menjawab soalan Rasulullah. Lalu, Fatimah Zahra tampil dan memberikan jawapan beliau. Menurut Fatimah, "Saat wanita paling dekat dengan Tuhannya adalah ketika dia berada di rumahnya”. Jawapan Az-Zahra ini sesuai dengan ayat Al-Quran yang bermaksud: 

“Dan hendaklah kamu tetap di rumahmu dan janganlah kamu berhias (bertingkah laku) seperti orang-orang jahiliah terdahulu..” (Quran, 33:33). 

Ditekankan di sini bahawa walaupun ayat Al-Quran ini diturunkan khas buat isteri-isteri Rasulullah SAW, tetapi sebenarnya ayat ini juga sesuai diaplikasi untuk semua wanita Muslimah. Di dalam surah yang sama iaitu surah Al Ahzab, Allah berfirman, 

"Wahai Nabi ! Katakanlah kepada isteri-isterimu, anak-anak perempuanmu, dan isteri-isteri orang mukmin, hendaklah mereka menutup jilbabnya ke seluruh tubuh mereka; yang demikian itu agar mereka lebih mudah untuk dikenali tetapi tidak pula sehingga diganggu. Sesungguhnya Allah itu Maha Pengampun dan Maha Penyayang (Quran, 33:59) 

Ayat di atas telah membincangkan falsafah hijab (etika pemakaian islam) sebagai sejenis pelindung buat wanita itu daripada diikuti, diusik dan dihina oleh pandangan jahat dan bernafsu lelaki bukan muhrim. 

………………………………………………………………………………………………………

Satu hari, ketika Nabi Muhammad SAW berada di rumah puterinya, Fatimah Zahra, tiba-tiba mereka mendengar ketukan di balik pintu. Lalu, pembantu rumah segera mendekati Nabi dan berkata,

“Ya Rasulullah! Sahabatmu Abdullah ibn Umme Maqdoom (cacat penglihatan) telah datang untuk menziarahimu.” 

Rasulullah SAW segera menyuruh pembantunya untuk membenarkan tetamu baginda itu masuk. Dalam masa yang sama, puterinya Fatimah Az-Zahra, penghulu wanita dunia dan ketua bidadari Syurga, bingkas bangun dan berlalu ke kamarnya. 

Lalu Rasulullah SAW bertanya “Wahai puteriku Fatimah, ke manakah kamu hendak pergi?” 

“Kerana ada sahabatmu yang mendatangi, aku ingin ke kamarku untuk mengenakan hijab supaya tidak dipandang olehnya” jawab Fatimah. 

“Tetapi anakku, sahabatku itu buta dan tidak dapat melihatmu,” balas Nabi kehairanan. 
“ Wahai ayahandaku! Tetamu itu tidak dapat melihatku, tetapi aku dapat melihat dia. Justeru itu, aku harus kembali ke kamarku”.

Peristiwa ini tidaklah menunjukkan Rasulullah SAW itu kurang pengetahuan mengenai wanita. Sebaliknya, soalan tersebut ditanya kerana Rasulullah mahu memberitahu kaum wanita akan kepentingan memelihara hijab. Dan bahawa adalah tidak cukup untuk sekadar berasa yakin bahawa diri itu mampu mengawal hawa nafsunya, tidak akan sesekali berfikir kotor atau memandang jahat terhadap seseorang, (justeru tidak perlu lagi memelihara hijab). Nauzubillah! 

Fatimah Zahra yang maksum itu pun, (yang bebas dari pengaruh nafsu yang jahat) tetap jua memelihara hijabnya dengan sangat serius.  

Islam mengambil berat akan soal melindungi kehormatan dan peribadi wanita demi kebahagiaan dan keikhlasan dirinya. Akan tetapi, perlu diingatkan bahawa, Islam tidaklah menganjurkan agar wanita itu tidak dibenarkan langsung dari melihat cahaya mentari di luar rumahnya. Fatimah Az-Zahra (sa) sendiri sewaktu hayatnya adalah seorang wanita yang sangat aktif dalam kehidupan peribadi dan sosialnya. Namun, dalam masa yang sama, Az-Zahra sangat berhati-hati dalam menjaga maruah dan kehormatannya sehinggakan dalam apa jua aktivitinya beliau tidak pernah bercampur gaul dengan lelaki asing.

Bukan sahaja kehadiran wanita dalam arena kebudayaan, politik, pertahanan tidak dilarang, bahkan dimana sahaja apabila perlu, maka adalah menjadi satu kewajiban bagi wanita untuk bergiat aktif dalam arena-arena tersebut.  Contohnya, bilamana masyarakat memerlukan perkhidmatan dari doktor wanita, jururawat ,dan guru wanita, kaum wanita di dalam masyarakat itu adalah wajib baginya untuk mempersiapkan dan melengkapkan diri dengan skillll dan kelayakan agar dapat memenuhi keperluan ummah pada waktu tersebut. 

Syarahan Fatimah Az-Zahra (sa) di dalam masjid Nabi (Madinah), jihad bersama suami tercintanya-Imam Ali (as) di dalam peperangan dan ketika penghijrahan mereka daripada Mekah ke Madinah, keberanian puteri mereka Hazrat Zainab (sa) di Karbala, diikuti dengan ucapan terkenalnya di Kota Kufah dan Sham-menjadi satu bukti bahawa wanita Islam mampu menggoncang dunia.

Warisan Fatimah Az-Zahra buat semua wanita Islam adalah; kesucian iman dan akhlak. Visi beliau buat semua Mulimah adalah; mereka harus memelihara maruah dan kesucian diri bak para malaikat, sesuai dengan etika dan nilai-nilai murni yang digariskan Islam. 

Di dalam satu hadis Rasulullah SAW, diriwayatkan bahawa, "Sedekah (zakat) bagi kecantikan seorang wanita adalah kehormatan dan kesucian dirinya,".

Oleh itu, sekiranya wanita tidak menjaga dan melindungi kecantikannya dari pandangan lelaki asing, serta mempamerkan dirinya kepada yang bukan muhrim, maka bukan sahaja dia terdedah kepada bahaya malah suaminya juga tidak akan mendapat ketenangan minda dan semangat diri. 

Perlu diingatkan di sini bahawa di sisi Islam, wanita adalah ibarat sekuntum bunga yang indah dan lembut
yang perlu dilindungi dari kesulitan-kesulitan dan bahaya. Lebih-lebih lagi, hanya apabila seseorang wanita itu benar-benar dilindungi dan disayangi, barulah dia mampu memberi sinar kebahagiaan kepada keluarga dan segala isi rumahnya, dan hanya dengan jalan ini sahaja sebuah masyarakat itu akan selamat, terpelihara dan berkembang maju. 


Fatimah Zahra (sa) : Keutamaan jiran tetangga. 


Sudah menjadi kelaziman buat putera Fatimah Az-Zahra, untuk bangun lewat malam dan menyertai ibundanya menunaikan solat tahajjud. Dia melihat ibundanya berdoa untuk mukminin dan mukminat agar diberikan kesenangan dan kesejahteraan, diampunkan dosa dan dipermudahkan urusan. 

Lalu, ketika dinihari, selesai solat, putera Az-Zahra pun bertanya, “ Wahai ibunda! Mengapa engkau berdoa untuk semua setiap hari. Namun, mengapa tidak kudengari doa untukmu sendiri sepertimana engkau berdoa untuk mereka? 

Fatimah Az-Zahra (sa) menjawab, “ wahai putraku Hassan, utamakanlah jiran tetangga dahulu barulah berdoa untuk diri kita (isi rumah). 


Doa ibunda Zahra: 

Ya ALLAH, 
Hiasilah aku dengan rahmatMu 
Berikanlah aku kesihatan yang baik serta dipanjangkan umurku 
Maafkanlah serta berbelas kasihanlah kepadaku semasa kematianku 
Janganlah Engkau menyulitkan diriku dalam apa jua yang tidak ditakdirkan untukku 
permudahkan lah jalan takdirku 
ya Allah, 
Anugerahilah kedua ibu bapaku serta yang berbuat baik kepadaku dengan nikmatMu yang luas 
Berikanlah kesempatan kepadaku untuk bersujud kepadaMu, dan mengikut perintahMu 
jadikanlah aku manusia yang rendah diri, dengan mengagumi kebesaran ciptaanMu 
Ya Allah, tunjukkanlah jalan untuk aku patuh kepadaMu dalam menggapai keredhaanMu, 
jauhkanlah aku dalam apa-apa yang mengundang kemurkaanMu 

Sesungguhnya Kau yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang..

Sumber : http://www.ezsoftech.com/stories/fatimah.zahra.asp

Wednesday, 2 April 2014

Kisah Pengajaran : Semut Yang Berdoa Supaya Hujan


Pada zaman dahulu, terdapat sebuah kemarau yang panjang berlaku di Palestin. Ia berlaku sewaktu zaman Nabi Sulaiman as (Raja Sulaiman). Baginda keluar bersama orang-orangnya dan pergi ke sebuah kawasan terbuka di padang pasir untuk berdoa supaya hujan turun.

Tiba-tiba, baginda melihat seekor semut sedang berdiri di atas dua kakinya, menaikkan tangannya ke langit dan berkata, "Ya Allah! Sesungguhnya kami ini sangat kecil di kalangan semua makhluk-Mu. Kami tidak boleh hidup tanpa rahmat-Mu. Kami mohon kurniakan kepada kami rezeki-Mu dan jangan hukumi kami kerana dosa-dosa manusia. Kami mohon turunkanlah hujan supaya pohon-pohon boleh tumbuh, ladang-ladang menjadi hijau dan bijirin boleh diperolehi  dan kami mendapat makanan kami."

Nabi Sulaiman tahu semua bahasa haiwan. Baginda berkata kepada kaumnya, "Mari kita pulang. Doa semut ini sudah mencukupi." Kemudian, hujan turun dengan lebatnya dan semua tanah menjadi hijau dan subur.

Semut adalah makhluk yang cerdik. Semasa musim panas, ia mengumpul dan menyimpan bijian di dalam lubang-lubangnya. Ia tahu bahawa semasa musim sejuk dan musim hujan, ia tidak boleh keluar mencari makanan. Kerana ia takut bijian akan mula berpucuk akibat keadaan yang lembap, maka ia membahagikan bijian-bijian itu kepada serpihan-serpihan kecil. Pada masa tertentu, semasa bulan terang di waktu malam, ia membawa serpihan bijirin tersebut keluar untuk dikeringkan dan diawet supaya tidak reput.

Lubang-lubang di bawah tanah dibina dengan sangat berhati-hati dan ditutupi dengan pelindung bagi menghalang air hujan masuk ke dalam lubang. Semut, tidak seperti haiwan-haiwan lain, boleh mengangkat beban dua kali ganda berat tubuhnya sendiri. Ia bukan makhluk yang pentingkan diri sendiri. Apabila seekor semut menjumpai bekalan makanan, ia berlari ke arah kumpulannya dan membawa kawan-kawannya ke arah tempat itu. Ia menunjukkan kepada semua temannya apa yang dia jumpai. Mereka selalu berkelakuan seperti itu. Mereka bekerja dan hidup bekerjasama dengan satu sama lain.

Ini menunjukkan bagaimana semut bekerja untuk kumpulan dan bagaimana setiap mereka memenuhi keperluan hidup teman-temannya. Sungguh memalukan bagi manusia, yang tidak mengambil peduli akan orang lain, yang tidak ambil kisah jika ada manusia lain yang mungkin kelaparan kerana tiada makanan.

Pada suatu hari, ketika Nabi Sulaiman sedang dalam perjalanan bersama-sama dengan sejumlah besar manusia, jin dan burung-burung, mereka akhirnya tiba ke sebuah lembah semut.

Apabila ketua kumpulan semut itu melihat kehebatan dan keagungan Nabi Sulaiman dan para pengiringnya, ia memberi amaran kepada semua semut agar masuk ke dalam lubang mereka jangan sampai mereka dipijak dan dihancurkan secara tidak sengaja oleh manusia dan jin yang sedang menghampiri. Nabi Sulaiman tersenyum mendengar amaran yang dikeluarkan oleh ketua semut itu, dan memerintahkan orang-orangnya untuk menunggu sehinggalah semua semut masuk ke dalam lubang mereka.

"Jangan ada sesiapa dari kita menyakiti mana-mana semut semasa melalui tanah mereka," kata baginda.

Dikatakan bahawa Nabi Sulaiman berkata kepada ketua semut: "Bagaimana mungkin orang-orang saya mencederakan kamu atau rakan-rakanmu sedangkan mereka terapung di udara!? Apakah kamu tidak tahu aku adalah seorang Nabi Allah dan tidak akan bertindak secara tidak adil?"

Ketua semut itu menjawab: "Wahai utusan Allah! Amaranku terhadap semut-semut itu bukan kerana takut mereka akan dicederakan tetapi untuk menghalang mereka dari menyimpang ke arah kesesatan dan melupakan keagungan Tuhan selepas melihat kehebatan dan keagunganmu."

Terdapat maksud yang mendalam dalam peristiwa ini. Ini menunjukkan bahawa makhluk yang paling kecil pun dikurniakan kebijaksanaan yang diperlukan untuk hidup dengan selamat dan bagi mengelakkan diri  dari disakiti sebaik mungkin. Ia juga menunjukkan bahawa semut kecil pun mempunyai pemahaman semula jadi akan kedudukan sebenar Allah Taala. Ia memberikan pengajaran bahawa seseorang itu tidak harus lupa akan kebesaran dan keagungan Allah apabila melihat sebuah kuasa besar dan kehormatan yang dimiliki oleh mana-mana makhluk di dunia ini.

Oleh itu, semut adalah salah satu makhluk kecil yang paling menarik di dunia ini. Surah An-Naml (Semut) di dalam Al-Quran adalah surah yang dinamakan dengan nama makhluk ini. Lebih 1300 tahun dahulu, Imam Ali menyampaikan sebuah khutbah di Kufa, di mana beliau menerangkan keindahan penciptaan dalam pelbagai bentuk kehidupan. Beliau merujuk kepada makhluk-makhluk kecil dan menyeru manusia agar mengkaji bagaimana Allah menjadikan makhluk itu kecil namun begitu tegap dan kuat. Beliau menerangkan tentang semut dengan kata-kata ini:

"Lihatlah pada semut. Bagaimana kecil dan halusnya tubuh mereka. Ia adalah makhluk kecil yang sering terlepas dari pandangan mata, dan sedikit sahaja orang-orang yang mengambil berat untuk meletakkan apa-apa kepentingan kepada makhluk ini di antara makhluk-makhluk hidup yang lainnya. Lihatlah ia dan kajilah cara hidupnya, bagaimana ia bergerak, bagaimana ia mendapatkan makanannya, bagaimana ia mengangkat sebutir bijirin yang berkali ganda berat dari tubuhnya, membawanya ke dalam lubang; bagaimana ia menyimpan bijirin, dan bagaimana pada musim panas ia mengumpul dan menyimpan bekalan makanan untuk musim sejuk dan hari hujan."

Semoga kita beroleh pengajaran dari kisah ini.

Monday, 10 March 2014

Nabi Muhammad : Hak2 Baginda ke atas Pengikutnya



Semua orang Islam di dunia ini tidak kira apa mazhab mereka, berpegang teguh kepada satu  kepercayaan bahawa Nabi Muhammad SAW adalah nabi yang terakhir (penutup segala nabi). Malah, umat Islam percaya bahawa kerasulan Ilahiyah berakhir dengan baginda Nabi Muhammad (s.a.w), sebagaimana mereka percaya kepada ke-Esaan Allah SWT. Allah S.W.T berfirman:

“Muhammad bukanlah bapa kepada mana-mana kamu tetapi (dia) adalah utusan Allah dan penutup segala nabi: dan (ingatlah) Allah Maha Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu” (Quran, 33:40)

Hak-hak Nabi Muhammad SAW adalah yang paling penting selepas hak-hak Allah SWT. Tidak ada manusia yang memiliki lebih banyak hak berbanding Nabi Muhammad SAW. Allah berfirman:

"Sesungguhnya Kami telah mengutusmu (wahai Muhammad) sebagai saksi dan pembawa berita gembira serta pemberi amaran, agar engkau beriman kepada Allah dan Rasul-Nya, dan supaya engkau membantunya dan memuliakannya; dan supaya kamu beribadat kepada-Nya, pagi dan petang." (Qur’an, 48:8-9).

"Dan tiadalah Kami mengutusmu (wahai Muhammad) melainkan untuk umat manusia seluruhnya sebagai pembawa khabar gembira dan pemberi amaran, akan tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui," (Quran, 34:28)

Rasulullah (S.A.W) mempunyai banyak hak. Penghormatan dan penghargaan buat baginda harus dipraktikkan dengan sebaiknya. Penghormatan terhadap Nabi Muhammad (S.A.W) meliputi penghormatan dan kepatuhan kepada Sunnahnya (yaitu Ahlul Bait). 

Hak Nabi Muhammad haruslah dipenuhi tanpa sikap keterlaluan. Apabila seseorang membaca tentang keikhlasan para sahabat Nabi dalam mencintai dan menghormati Nabi Muhammad (S.A.W), dia akan tahu betapa pentingnya hal ini. Apabila orang Quraish menghantar Orwa Ibn Masud untuk berunding dengan Nabi Muhammad (S.A.W) di Hudaibiyah, dia sangat kagum dengan para sahabat Rasulullah (S.A.W). 

Katanya “Aku telah melawat Raja Parsi, Rom dan Abyssinia ( sebuah empayar di Ethopia) tetapi aku tidak pernah melihat mana-mana pemimpin yang lebih dihormati dan disanjungi oleh kaumnya daripada Muhammad. Jika dia menyuruh mereka membuat sesuatu pekerjaan mereka akan lakukannya tanpa berlengah-lengah. Jika dia mengambil wudu’, mereka akan mencari saki-baki air wudu’ yang digunakannya. Mereka tidah pernah memandang tepat ke mata Rasulullah (S.A.W) kerana rasa hormat kepadanya."

Beginilah Rausulullah (S.A.W) dihormati oleh para sahabatnya. Dia adalah utusan terakhir Allah (S.W.T) yang memiliki kualiti dan sifat yang hebat. Allah (S.W.T) berfirman:

“Sesungguhnya pada diri Rasulullah adalah suri teladan terbaik bagimu (iaitu) bagi orang yang mengharap (rahmat) Allah dan (kedatangan) hari kiamat, dan yang banyak mengingati Allah SWT." (Quran, 33:21)

"Dan sesungguhnya engkau (Muhammad) miliki akhlak yang agung," (Quran, 68:4)

Rasulullah (S.A.W) adalah contoh terbaik seorang lelaki yang sempurna dalam setiap segi. Baginda adalah suri teladan kebaikan dan contoh terbaik bagi umat manusia. Allah (S.W.T) memuliakan baginda dari yang lain dengan menerapkan dalam personaliti luhur beliau dengan kualiti-kualiti yang begitu baik sekali seperti kesopanan, kebenaran bicara, baik hati, kesabaran, kesetiaan, kejujuran, bersemangat tinggi, keberanian, pemurah, bijaksana, dan lain-lain.

Dengan mengkaji sifat baginda yang begitu hebat dan kehidupan baginda yang sederhana yang dimilikinya bersama dengan keluarga, para sahabatnya, isteri-isteri dan mereka yang lain, banyak yang boleh kita pelajari berdasarkan cara hidup baginda dan ini boleh membentuk cara hidup kita.

Masyarakat kita tidak akan menjadi masyarakat Islam jika kita tidak mengikuti jejak utusan terakhir Allah (SWT) dengan ikhlas, memberi sepenuh perhatian kepada ucapannya, memerhati segala tindakannya dan tingkah lakunya yang mulia, dan yang paling penting mengikuti jejak baginda secara keseluruhannya sepertimana para sahabat melakukannya di dalam cerita-cerita yang berikut:

Pada suatu hari ketika Nabi Muhammad (SAW) sedang memasuki Kota Madinah, baginda ternampak seorang Yahudi membawa kuda yang dibiaknya untuk dijual. Rasulullah (S.A.W) menyukai kuda tersebut, jadi baginda membuat tawaran kepada Yahudi tersebut dan membelinya dengan harga yang dipersetujui oleh kedua pihak. Pada ketika itu, Nabi Muhammad (S.A.W) tidak mempunyai wang bersamanya dan meminta lelaki Yahudi tersebut untuk ke rumahnya bagi mengambil wangnya. Orang Yahudi tersebut bersetuju dengan tawaran itu.

Semasa mereka dalam perjalanan, seorang lelaki menghampiri mereka dan bertanya kepada lelaki Yahudi tersebut jika dia ingin menjual kuda tersebut dan dengan harga berapa. Lelaki Yahudi tersebut memberitahu bahawa dia telah menjualnya kepada Rasulullah dengan harga sekian sekian. Lelaki yang menghampiri mereka itu menawarkan harga yang lebih tinggi dari harga yang dibeli oleh Rasulullah (S.A.W) dan peniaga Yahudi tersebut bersedia menjualnya dengan harga yang ditawarkan.

Rasulullah(S.A.W) memberitahu lelaki Yahudi itu adalah salah untuk membatalkan perjanjian seperti itu kerana  lelaki tersebut sudah menjual kuda tersebut kepadanya. Lelaki Yahudi tersebut menidakkan perjanjiannya dengan Rasulullah.

Ketika kejadian ini sedang berlaku, orang ramai yang lalu-lalang di sekeliling mereka bertanyakan apa yang telah berlaku. Nabi Muhammad menceritakan apa yang telah berlaku.

Sahabat bertanya: "Adakah anda wahai Rasulullah mempunyai saksi untuk menyokong kenyataan anda?"

Nabi Muhammad (SAW) menjawab: "Kami tiada saksi dan tiada siapa yang ada ketika kejadian ini berlaku."

Sahabat berkata: "Maaf, kami rasa kami tidak dapat membantu kamu. Bagaimana kami boleh memastikan siapa yang berkata benar dan siapa yang berbohong?"

Pada masa yang sama, seorang sahabat yang sangat jujur dan rapat dengan Rasulullah (S.A.W) Huzaima ibn Sabit (R.A) sedang melalui jalan yang sama dan ternampak Rasulullah (S.A.W) sedang dikelilingi oleh orang ramai.  Dia kemudian dapat mengetahui apa yang berlaku.

Huzaima ibn Sabit (R.A) berkata: "Nabi Muhammad berkata benar dan lelaki Yahudi itu menipu."

Nabi Muhammad (S.A.W) pula berkata: "Tetapi anda tidak berada di tempat kejadian ketika ia berlaku, jadi bagaimana anda tahu?"

Kemudia Huzaima (R.A) menjawab: "Wahai Pesuruh Allah (S.W.T), kamu memberitahu kami bahawa tuhan itu wujud dan kami mempercayaimu, walaupun kami tidak pernah melihat-Nya. Dan kamu memberitahu kami bahawa Al-Quran itu adalah kata-kata Allah (S.W.T) dan kami mempercayai kamu. Kemudian kamu khabarkan kepada kami tentang malaikat, syurga dan neraka, dan kami mempercayai kamu walaupun kami tidak pernah melihat semua ini. Bagaimana pula kamu boleh berbohong tentang perkara seremeh ini?"



Pengajaran yang boleh didapati dalam cerita ini adalah, ada para sahabat yang berjalan, duduk dan makan bersama Rasulullah (S.A.W), tetapi tidak memahami personaliti dalaman baginda, dan pada masa yang sama juga ada sahabat yang memahami Rasulullah secara fizikal dan rohaninya. Oleh itu, kita seharusnya mempercayai Rasulullah sepenuhnya seperti Huzaima ibn Sabit dan bukannya seperti yang seorang lagi itu.

Hak-hak Nabi Muhammad SAW termasuklah mempercayai baginda dalam perkara yang berkaitan dengan agama dan peristiwa yang berlaku pada masa lepas, masa kini serta masa hadapan yang diberitahu baginda kepada kita. Kepatuhan dan akur dengan perintah baginda adalah sebahagian dari hak-hak baginda ke atas kita. Apabila seorang muslim itu beriman kepada Nabi Muhammad SAW dan mahu mengikut agamanya, dia haruslah melakukan demikian dengan mempercayai bahawa cara Nabi Muhammad (dalam berinteraksi, dalam berakhlak dan lain-lain) adalah cara yang terbaik. Beriman kepada Nabi Muhammad SAW meliputi pengakuan bahawa agama baginda adalah agama yang terbaik. Allah telah mengesahkan semua hak-hak ini dalam ayat-ayat Quran berikut :

"Katakan (wahai Muhammad kepada manusia): Jika kamu mencintai Allah, maka ikutilah aku. Allah akan mencintaimu dan mengampunkan dosa-dosamu. Dan Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang. Katakan: "Taatlah kepada Allah dan Rasul-Nya." Tapi jika mereka berpaling, sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang ingkar," (Quran, 3:31-32)

"Tidak, demi Tuhanmu, mereka tidak benar-benar beriman melainkan mereka mengambil kamu sebagai hakim dalam segala perselisihan di antara mereka, dan mereka pula tidak merasa dalam hati mereka keberatan untuk menerima apa yang engkau putuskan, dan mereka menerima keputusan itu sepenuhnya," (Quran, 4:65)

"Sesiapa yang  mentaati Rasul, maka sesungguhnya dia mentaati Allah, dan sesiapa yang berpaling ingkar, maka Kami tidak mengutusmu untuk menjadi pengawal ke atas mereka," (Quran, 4:80)

"Dan hendaklah mereka yang mengingkari perintahnya berjaga-jaga, kalau-kalau mereka ditimpa bala bencana, atau ditimpa azab seksa yang tidak terperi sakitnya," (Quran, 24:63)

"Dan tidak patut bagi orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan - apabila Allah dan RasulNya telah menetapkan keputusan bagi sesuatu perkara, mempunyai pilihan lain dalam keputusan mereka; dan jika sesiapa tidak taat kepada hukum Allah dan RasulNya, sesungguhnya dia berada dalam kesesatan jalan yang nyata," (Quran, 33:36)


Sumber : http://www.ezsoftech.com/stories/holy.prophet.muhammad.asp

Sunday, 9 March 2014

Kisah Moral : Usaha Seekor Burung Kecil




Pada masa dahulu, ada seekor burung kecil (Ababil) yang hidup sezaman dengan Nabi Ibrahim AS. Apabila Nabi Ibrahim AS dicampak ke dalam api oleh musuhnya Raja Namrud, burung kecil itu melihat apa yang berlaku dan membuat keputusan untuk memadamkan api demi membantu Nabi Ibrahim AS. Burung kecil itu mula menceduk beberapa titis air ke dalam paruh kecilnya dari sungai yang berhampiran. Burung-burung yang lebih besar di kawasan itu memerhati dan mentertawakan burung kecil itu, mereka berkata: "Ke mana kamu membawa air itu?"


Burung kecil itu berkata, "Mahu padamkan api di sekeliling Nabi Ibrahim,". Burung-burung yang lebih besar itu terus ketawa. "Bagaimana kamu mahu padamkan api besar itu dengan air yang begitu sedikit? Sia-sia sahaja dan tak berguna usaha kamu itu."



Adakah anda tahu apakah jawaban burung kecil itu? Ia menjawab : "Saya yakin Allah SWT tidak akan bertanya pada saya sama ada saya berjaya memadamkan api itu atau tidak. Tetapi Allah SWT akan bertanya apa yang saya telah lakukan untuk menghentikan api itu."



Mendengar jawaban itu, semua burung yang lebih besar terdiam seribu bahasa.



Kita sering berfikir bahawa usaha kita adalah penyebab kepada kejayaan kita. Ini adalah cara berfikir yang salah kerana Allah SWT lah penentu kejayaan itu. Jika Dia berkata kita berjaya, kita akan berjaya. Usaha kita hanyalah satu pengorbanan yang kita secara sukarela lakukan. Begitu juga dengan burung kecil itu yang tahu bahawa dengan beberapa titis air, api itu tidak akan padam. Tetapi adalah tanggungjawabnya untuk menyumbang apa sahaja yang ia boleh lakukan dalam apa jua cara mengikut keupayaan dirinya.



"Tujuan hidup bukanlah untuk menjadi gembira (semata-mata). Tetapi tujuan hidup adalah untuk menjadi berguna, menjadi mulia, bersifat ihsan. Untuk memiliki ini, ia mencipta perbezaan bahawa kamu telah hidup dan kamu hidup dengan baik," -Ralph Waldo Emerson-



"Tujuan hidup adalah untuk memberi sumbangan dalam apa jua cara untuk menjadikan sesuatu perkara itu menjadi lebih baik," - Robert F. Kennedy -



Satu lagi contoh praktikal di zaman kita adalah : Pemimpin Revolusi dan pengasas Republik Islam, Ayatullah Ruhullah Khomeini ra disoal oleh kakitangan media di Paris, pada saat di mana klimaks situasi sedang berlaku, beliau telah disoal sama ada beliau berfikir revolusi Islam di Iran akan berjaya atau tidak. Beliau menjawab:



"Saya tidak tahu."



Dan seluruh dunia terkejut kehairanan dengan jawaban itu. Seorang pemimpin yang hebat dengan jawaban yang begitu mudah. Lalu Imam Khomeini meneruskan dengan berkata bahawa beliau tidak melakukan apa yang beliau lakukan, demi mencapai hasil atau kejayaan . Tetapi kerana beliau merasakan adalah tugas dan tanggungjawabnya untuk melakukan sesuatu untuk (menyelamat) rakyat negaranya. Beliau menyambung lagi dengan menerangkan bahawa apabila Allah SWT akan menyoalnya tentang apa yang telah beliau lakukan ketika mana orang lain semuanya berbuat silap, maka sekurang-kurangnya beliau boleh menjawab bahawa beliau telah pun berusaha yang terbaik mengikut kapasitinya untuk membuat perubahan.



"Tindakan, bukannya hasil tindakan itu yang penting. Anda perlu melakukan perkara yang betul. Ia mungkin di luar kuasa anda, mungkin tidak berlaku di masa anda, bahawa ia akan membuahkan apa-apa hasil. Tetapi itu tidak bermakna anda berhenti melakukan perkara yang betul. Anda mungkin tidak akan pernah tahu apakah hasil yang mungkin datang dari tindakan anda. Tetapi jika anda tidak berbuat apa-apa, maka tidak akan ada hasil." -Mahatma Gandhi-



Pesanan WF, Imam Ali Khamenei :



"Keberanian mestilah disertai dengan kebijaksaan, dan kebolehan membuat pertimbangan dengan baik,"



Sumber : http://www.ezsoftech.com/stories/making.a.difference.moral.stories.asp#story